




10 NOVEMBER 2026
Malaysia menyasarkan penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030 dan sejuta unit menjelang 2035 menerusi penerapan teknologi pembinaan moden, termasuk kaedah pembinaan modular termaju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan sektor pembinaan negara perlu bergerak seiring dengan keperluan rakyat, khususnya dalam memastikan projek mega dan pembinaan bangunan memberi manfaat nyata kepada masyarakat.
Beliau menegaskan, setiap projek pembangunan perlu mengambil kira aspek kebajikan, keselesaan dan keperluan komuniti bagi mengelakkan timbulnya kekecewaan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, transformasi industri pembinaan bukan sekadar mengejar kemajuan fizikal dan penggunaan teknologi, sebaliknya perlu menghasilkan impak langsung terhadap kehidupan rakyat, termasuk menyediakan lebih banyak kediaman yang berkualiti dan mampu dimiliki.
Dalam pada itu, Anwar berkata kontraktor tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan ruang untuk turut serta dalam perubahan industri yang kini menuju ke arah penggunaan robotik, reka bentuk digital dan automasi.
KEPENTINGAN MALAYSIA
Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia membangunkan keupayaan teknologi sendiri, khususnya dalam bidang pembinaan modular dan percetakan tiga dimensi (3D), supaya negara tidak terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan pihak asing.
Katanya, penguasaan teknologi tempatan penting bagi memperkukuh daya saing industri pembinaan, meningkatkan produktiviti serta memastikan syarikat tempatan tidak ketinggalan dalam menghadapi perubahan landskap industri.
Usaha mempercepat penggunaan teknologi moden itu diharap dapat menjadikan sektor pembinaan lebih cekap, inovatif dan berdaya saing, selain menyokong agenda penyediaan perumahan mampu milik untuk rakyat.
