Pelaburan RM218.5 bilion sasar hampir 100,000 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA, 28 Oktober – Sebanyak 2,750 projek pelaburan bernilai RM218.5 bilion yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan hampir 100,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, nilai pelaburan itu meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau menegaskan kejayaan pelaburan perlu diukur melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja, selain keupayaan syarikat tempatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.

Menurutnya, sektor semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau memerlukan tenaga kerja tempatan yang mahir serta memenuhi keperluan industri.

Sehubungan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tinggi dan penerapan teknologi, manakala Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan gaji bulanan median RM3,500 serta bahagian pampasan pekerja sebanyak 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Beliau berkata, sasaran berkenaan memerlukan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun. Pada 2025, pekerja mahir merangkumi 30.1 peratus daripada keseluruhan guna tenaga, berbanding sasaran 35 peratus menjelang 2030.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI, A.R. Jaya Singam pada Majlis Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memenangi dua kategori Anugerah Media ADI 2026 menerusi Zarith Sofia Hatun Rahman Khan bagi kategori Televisyen, Radio dan Portal Video serta Nursyamimi Syahira Saripan bagi kategori Media Sosial/Video Pendek.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *