Malaysia Sasar Pelaburan Bernilai Tinggi, PMX Temui 21 Pemimpin Industri China

SHANGHAI, 23 September 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama pemimpin industri daripada 21 syarikat terkemuka China bagi meneroka peluang pelaburan strategik bernilai tinggi di Malaysia.

Perbincangan itu merupakan antara agenda pada hari kedua lawatan kerja beliau di Shanghai dan melibatkan pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi, penjagaan kesihatan, bahan kimia khusus serta pembuatan termaju.

PEMAIN INDUSTRI CHINA

Menurut Anwar, sesi berkenaan turut memberi peluang untuk mendengar secara langsung perancangan dan aspirasi pemain industri China, termasuk peluang yang dilihat di Malaysia serta langkah yang diperlukan bagi merealisasikan pelaburan tersebut.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk terus berkembang sebagai hab pelaburan dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini, disokong ekosistem perindustrian yang matang, tenaga kerja berkemahiran, kedudukan strategik serta jaringan rantaian bekalan yang kukuh.

Kerajaan MADANI, katanya, akan terus memudah cara kemasukan pelaburan berkualiti yang membawa manfaat melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan penyertaan syarikat Malaysia serta pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.

Perbincangan bersama pemimpin industri China itu mencerminkan usaha Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan dalam sektor-sektor berteknologi tinggi serta bernilai tambah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *