
KUALA TERENGGANU, 22 September — Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas 183 bungkus air ketum ditemukan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Resak, Batu Payung, Marang, Ahad lalu.
Pemeriksaan turut menemukan peralatan dipercayai digunakan untuk menyediakan air ketum, termasuk dua tong ais, dua periuk, dua tong air, dua tong gas, dapur gas dan penapis air.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,040.
Menurut PGA, suspek mengaku meminum dan menjual air ketum sejak 2022 serta mendapatkan kira-kira 50kg daun ketum dari Kedah melalui seorang runner dengan bayaran RM1,500.
Saringan air kencing suspek didapati negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
