DBKL Perkukuh Perkhidmatan Krematorium, Kurangkan Tempoh Menunggu Waris

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek naik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras bernilai RM45 juta bagi mengurangkan tempoh menunggu waris serta meningkatkan mutu perkhidmatan penghormatan terakhir kepada komuniti bukan Islam. Projek itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026.

Kompleks yang beroperasi sejak 1977 itu merupakan antara krematorium awam terbesar di Malaysia dengan purata 5,844 operasi kremasi setahun. Melalui projek berkenaan, jumlah mesin kremator akan ditingkatkan daripada tujuh kepada 10 unit, sekali gus meningkatkan kapasiti harian daripada 18 kepada 27 operasi kremasi.

DBKL memaklumkan projek yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan dijangka siap pada 2029. Ia turut melibatkan penaiktarafan ruang menunggu serta kemudahan sokongan yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna. Sepanjang tempoh pembinaan, empat mesin kremator sementara akan disediakan bagi memastikan operasi kepada masyarakat tidak terjejas.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud berkata, setiap kemudahan awam perlu memenuhi standard yang tinggi agar rakyat menerima perkhidmatan yang cekap dan boleh diharapkan. Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesuatu projek bukan hanya diukur berdasarkan nilai pelaburannya, tetapi melalui peningkatan kualiti perkhidmatan yang benar-benar dirasai rakyat.

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *