






Oleh: Sholina Osman
14 JUN 2026
Perancangan pendidikan di Perlis hendaklah diselaraskan berdasarkan keperluan ekonomi dan diiktiraf sebagai pelaburan strategik masa depan negeri.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Behor Mempelam, Arau baru-baru ini.
Menurut Tuanku Raja Muda, tiga rangka tindakan utama pendidikan yang perlu dipertimbangkan ialah Sekolah baharu mesti dibina selari dengan pertumbuhan perumahan demi menjamin hak pendidikan asas untuk semua, tanpa mengira status ekonomi.
Sektor pendidikan teknikal diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja mahir bagi menyokong kerancakan fasa perindustrian negeri, serta sistem pembelajaran praktikal diperkasa seiring akademik bagi melahirkan graduan holistik yang sedia memenuhi kehendak pasaran kerja.
PENYERTAAN MENYELURUH RAKYATNYA
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, pembangunan ekonomi dan industri Perlis yang mampan hanya akan tercapai melalui penyertaan menyeluruh rakyatnya dalam ekosistem pendidikan yang inklusif.
Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan secara berkala ini merupakan salah satu inisiatif MAIPs dalam menyantuni umat Perlis melalui pendekatan turun padang bagi meninjau sendiri keadaan hidup golongan asnaf, selain menyampaikan bantuan secara terus kepada mereka yang layak.
BANTUAN WANG TUNAI
Pada edisi kali ini, tiga penerima telah menerima sumbangan daripada MAIPs yang merangkumi bantuan wang tunai berjumlah RM700 setiap seorang, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Sumbangan tersebut telah disempurnakan penyampaian oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs kepada Embun Mat, 71, dari Kampung Behor Mempelam; Saharudin Kamis, 63, dari Kampung Telaga Haji Latif; dan Zalina Lah, 56, dari Tambun Tulang.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf sentiasa terbela, di samping memperkukuhkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, mesra serta berkesan. – JM
