PMX tinjau kemajuan Projek Sabah Southern MADANI Link, Sipitang

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu Sabah hari ini bagi meninjau kemajuan Projek Sabah Southern MADANI Link, Sipitang, sebuah inisiatif strategik yang bakal memperkukuh sistem penghantaran elektrik negeri, meningkatkan keselamatan tenaga serta menyokong pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui demi menjamin bekalan elektrik yang lebih stabil, mampan dan berdaya harap.

Sewaktu berucap, beliau nenegaskan ukuran sebenar kejayaan sesuatu projek bukan sekadar pada angka pelaburan atau pertumbuhan ekonomi yang dijana, tetapi sejauh mana manfaatnya dirasai oleh rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman yang sekian lama memerlukan akses kepada kemudahan dan peluang pembangunan yang lebih baik.

PROJEK YANG MENCABAR

Justeru, beliau berkata projek yang mencabar dan berimpak tinggi seperti ini amat penting bagi Sabah dan negara kerana ia membuka ruang kepada penyertaan yang lebih besar dalam inisiatif ASEAN Energy Grid, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab penghubung tenaga serantau yang strategik.

“Kedudukan ini menuntut kebijaksanaan dalam perancangan, ketekunan dalam pelaksanaan serta iltizam berterusan untuk memastikan hasil pembangunan diterjemahkan kepada kemudahan yang lebih baik, kos yang berpatutan dan kehidupan yang lebih sejahtera buat rakyat,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau berharap semoga projek ini dapat disiapkan mengikut jadual serta menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih inklusif, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta membawa limpahan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia amnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *