MTEN: PMX dengar pembentangan FMM kesan krisis bekalan global

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 MEI 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara semasa mempengerusikqn Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata pembentangan ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada Kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri.

Jelas beliau ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka Kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa.

“Ketika ini, Kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Jelas Anwar sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan.

Beliau berkata MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.

“Kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” tambah beliau.

Anwar berkata libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *