
PUTRAJAYA, 16 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan besar golongan guru yang disifatkan sebagai tunjang utama dalam membina anak bangsa serta membentuk akhlak, nilai dan ketamadunan negara.
Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Guru hari ini, beliau menzahirkan penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi guru yang menjadi asas kepada pembentukan generasi masa depan.
βSaya sendiri pernah melalui pengalaman sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an. Ketika itu, saya melihat ramai anak muda daripada keluarga susah dan tercicir daripada pendidikan, datang dengan kegelisahan tentang masa depan mereka,β katanya.
Beliau berkata pengalaman tersebut membentuk kefahaman bahawa peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya membina keyakinan serta menanam harapan dalam kehidupan pelajar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan cabaran dunia yang semakin kompleks menuntut peranan guru yang lebih besar dalam membentuk generasi berakhlak dan berjiwa MADANI.
βTanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah,β katanya.
Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri turut memuat naik video ucapan khas sempena sambutan Hari Guru.
Beliau menyifatkan guru sebagai pendidik unggul yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk pemikiran kritis, sahsiah dan jati diri pelajar.
βTema Hari Guru, βGuru Bitara Nadi Negaraβ sebagai pendidik unggul membentuk masa depan bangsa dan menjadi penggerak utama keluarga, masyarakat dan negara,β katanya.
Beliau berkata keunggulan guru dalam bilik darjah menjadi asas kepada pembentukan modal insan berkualiti yang menyumbang kepada kestabilan sosial, perpaduan dan kemakmuran negara.
βJadi Hari Guru ini untuk mengingatkan kitaβmantan murid, pengajar dan Cikgu Anwarβkita harus terus menjalankan tugas sebagai bitara agar melahirkan generasi MADANI berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
βSelamat Hari Guru. βGuru Bitara Nadi Negaraβ. Terima kasih cikgu-cikgu yang dikasihi,β katanya.
Sumber: RTM
