
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada status
cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia
(METMalaysia) pada 3 Mei 2026, jam 6.00 pagi.
Beberapa kawasan di
negara ini dilaporkan berada pada Tahap Amaran 1 (Berjaga-jaga)
dengan suhu maksimum harian antara 35°C hingga 37°C sekurang-
kurangnya tiga (3) hari berturut-turut, melibatkan negeri Kedah,
Kelantan, dan Sabah.
Pemantauan KKM bagi tempoh 1 Januari hingga 3 Mei 2026
merekodkan sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas di
seluruh negara, terdiri daripada 47 kes kelesuan haba, empat (4) kes
strok haba exertional, empat (4) kes strok haba, dan satu (1) kes
kekejangan haba.
Sebanyak dua (2) kes kematian akibat strok haba turut dilaporkan
pada tahun 2026, melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua (2)
tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42
tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
Kedua-dua kes
berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.
Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada
haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal
lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi
teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan.
Analisa menunjukkan bahawa 58% kes penyakit berkaitan cuaca panas
adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.
Daripada
jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga
seperti merentas desa, latihan sukan, dan maraton, manakala
sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan
keselamatan dan operasi.
Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa
berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan berikut semasa cuaca
panas:
i. Hadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada
cuaca panas;
ii. Sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan
masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukan badan;
iii. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi
memastikan badan kekal terhidrat;
iv. Gunakan pelindung diri seperti topi, payung serta pakaian yang
ringan dan berwarna cerah;
v. Pastikan golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas,
dan individu berpenyakit kronik mendapat hidrasi mencukupi dan
dipantau;
vi. Elakkan meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam
kenderaan; dan
vii. Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami
gejala seperti pening, mual, kekejangan otot, atau keletihan
melampau.
KKM juga menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi
pendidikan serta pusat jagaan agar mengambil langkah pencegahan
sewajarnya, khususnya dalam merancang dan melaksanakan aktiviti
luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas
di laman sesawang METMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-
cuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan
kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM
(https://infosihat.moh.gov.my/cuaca-panas.html).
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
3 MEI 2026
