PMX percaya keamanan, perpaduan prasyarat utama kemajuan

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 FEB. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim percaya bahawa keamanan dan perpaduan ialah prasyarat utama kemajuan.

Beliau berkata negara yang dihuni pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak adalah keunikan yang wajib dipelihara.

“Semangat Tahun Kuda yang melambangkan keberanian, ketangkasan dan daya tahan harus menjadi pemangkin untuk kita terus melangkah maju sebagai sebuah bangsa yang bersatu, berdaya saing dan berdaya tahan menghadapi cabaran,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

BERSAMA MASYARAKAT SETEMPAT

Terdahulu beliau telah berkunjung ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Khantan Baru, Ipoh bagi bersama masyarakat setempat meraikan Tahun Baharu Cina.

“Dalam suasana harmoni dan muhibah, kita menyaksikan bagaimana kepelbagaian kaum dan budaya menjadi kekuatan utama negara,” kata beliau.

Jelas Anwar Malaysia ibarat sebuah keluarga besar, berbeza latar namun bersatu dalam semangat saling menghormati dan berkongsi kegembiraan.

AKAN TERUS MEMASTIKAN

Sehubungan itu kata beliau Kerajaan MADANI akan terus memastikan tiada kumpulan masyarakat yang terpinggir.

Perdana Menteri berkata bantuan pembangunan, pendidikan dan kebajikan disalurkan tanpa mengira kaum atau wilayah kerana kepemimpinan yang sebenar menuntut kita merasai denyut nadi setiap rakyat, sama ada di kampung Melayu, perkampungan Cina, estet India atau pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dengan semangat Gong Xi Fa Cai, mari bersama mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang demi masa depan generasi akan datang,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *