



Wartawan JM
15 FEB. 2026
Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat global.
Justeru, JBKM menghantar tenaga pengajar dalam program sangkutan akademik selama tiga bulan, iaitu Prof. Madya Dr. Anida Sarudin, bagi memperkaya pendekatan pengajaran Bahasa Melayu di Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan usaha pemerkasaan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperluas jaringan akademik dan diplomasi bahasa antara TSUOS, Uzbekistan dan UPSI,Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, sokongan berterusan daripada organisasi dan institusi di Malaysia amat diperlukan bagi membantu jabatan memperkaya sumber ilmu serta bahan warisan budaya di TSUOS dalam konteks pembelajaran yang berkesan.
MELAHIRKAN LEBIH RAMAI
“Inisiatif berterusan ini diharap mampu melahirkan lebih ramai penutur bahasa Melayu di rantau Asia Tengah, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang dinamik dan relevan,” katanya.
Menurut beliau perkembangan positif Pengajian Bahasa Melayu di Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) yang dilaksanakan tahun lalu terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan hasil usaha berterusan pihak akademik tempatan bersama kerjasama antarabangsa.
Dr Anida berkata program berkenaan memberi fokus kepada integrasi bahasa dan budaya sebagai elemen utama dalam proses pembelajaran.
Menurut beliau, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di TSUOS perlu diperkukuhkan melalui pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap konteks budaya.
DAPAT MEMBANTU PELAJAR
“Pendekatan ini diyakini dapat membantu pelajar memahami makna bahasa secara lebih mendalam, sekali gus meningkatkan kecekapan komunikasi dan apresiasi terhadap budaya Melayu,” katanya.
Selain pengajaran, katanya, sumbangan JBKM turut dizahirkan melalui pemberian pelbagai bahan ilmu seperti buku-buku rujukan, bahan visual, serta pakaian tradisional Melayu.
Menurut Dr Anida penyediaan bahan ini bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih autentik dan kontekstual di dalam bilik kuliah.
Beliau bertanggungjawab mengajar Bahasa Melayu untuk pelajar di Fakulti Filologi, Fakulti Jurnalisme, Fakulti Ekonomi dan Fakulti Pelancongan. – JM
