



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 FEB 2026
Negara boleh mencatat prestasi terbaik di ASEAN, ringgit boleh mengukuh, tetapi jika keluarga rapuh, masyarakat akan tetap goyah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata keluarga adalah unit asas dalam pembentukan sahsiah dan nilai.
“Justeru, apabila keluarga kukuh, masyarakat akan teguh dan negara lebih berdaya tahan menghadapi cabaran sosial serta ekonomi,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau berucap pada Majlis Pelancaran Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030
dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR), di Ipoh, Perak.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
KERANGKA DASAR SOSIAL
Beliau berkata DKKN digarap sebagai kerangka dasar sosial yang komprehensif, berpaksikan nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni yang merangkumi keseluruhan kitaran hayat keluarga daripada perkahwinan hingga kepada penyelesaian konflik.
Jelas beliau pendekatan ini lantas inklusif dan responsif terhadap realiti semasa, termasuk cabaran keluarga rentan agar tiada yang tercicir daripada usaha pemerkasaan.
Seiring dengan itu, kata Anwar SIKR diteruskan sebagai jaringan keselamatan sosial untuk melindungi isi rumah yang layak daripada musibah yang tidak dijangka.
“Walhasil, institusi kekeluargaan mesti dilindungi, malah diperkasa demi kestabilan sosial dan masa depan negara,” kata Perdana Menteri. – JM
