

Genting Highlands, 13 Februari β Pengamal media diseru agar terus mengamalkan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab dalam melaporkan isu rasuah bagi memastikan proses siasatan serta penguatkuasaan undang-undang tidak terjejas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datoβ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, media adalah rakan strategik utama SPRM dalam menyebarkan maklumat yang betul dan tepat kepada masyarakat.
Beliau berkata, menerusi laporan berita atau artikel yang disiarkan oleh media, perkara utama ia dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menolak serta mencegah rasuah seterusnya mewujudkan negara bebas rasuah.
βNamun, apa yang menggusarkan ialah apabila wujudnya penyebaran berita tidak benar dan tidak tepat. Tidak dinafikan bahawa cabaran paling besar kepada SPRM dan semua agensi penguatkuasaan masa kini ialah pengaruh media sosial.
βMedia sosial membolehkan sebarang dakwaan, tuduhan dan persepsi disebarkan dengan pantas, tanpa semakan serta tanpa menunggu proses siasatan disempurnakan,β katanya ketika merasmikan Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah anjuran Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM di Scapes Hotel di sini, hari ini.
Datoβ Sri Ahmad Khusairi berkata, SPRM turut berdepan dilema apabila tindakan tidak diambil segera akan dituduh melindungi pihak tertentu, manakala tindakan tegas berlandaskan undang-undang pula dilabel sebagai terpilih atau bermotif politik.
βHakikatnya, setiap tindakan SPRM adalah berasaskan bukti, peruntukan undang-undang dan prosedur ditetapkan, bukan tekanan media sosial, sentimen awam atau kepentingan mana-mana pihak,β katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui kewujudan portal media yang berpaksikan agenda politik tertentu sehingga membentuk persepsi awam berdasarkan naratif politik, bukan fakta dan kebenaran.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada agensi media untuk membentuk pasukan petugas khas media bersama SPRM menerusi kaedah Intelligence Base Investigation (IBI) bagi meningkatkan usaha membanteras rasuah di negara ini.
Sementara itu, Pengarah BKS SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff dalam ucapan aluannya berkata, bengkel ini diadakan bertujuan berkongsi maklumat serta memberi penerangan kepada wakil media mengenai proses siasatan dan peranan bahagian-bahagian utama dalam SPRM.
Beliau berkata, menerusi bengkel ini juga media boleh bertanya secara langsung kepada penceramah yang terdiri daripada pegawai SPRM membabitkan pelbagai perkara sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai sesuatu kes atau tugas SPRM.
Bengkel selama tiga hari itu dihadiri seramai 19 wakil media dan sebanyak lima slot taklimat meliputi pelbagai topik disampaikan oleh pegawai SPRM termasuk mengenai Peranan Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM oleh Pengerusinya, Datoβ Ahmad Rosli Mohd Sham.
Turut hadir Timbalan Pengarah BKS, Tuan Jules Rahman Ong; Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, KPKPj Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan; PPj Chun Kin Wai dari Bahagian Perisikan SPRM dan PPj Ahmad Kamal Abdul Rahman dari Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM.
