
KUCHING, 20 Jan – Gara-gara diugut oleh penyamar polis, seorang wanita warga emas di Kuching mengalami kerugian hampir RM500,000 dalam satu lagi kes ‘Phone Scam’ yang berlaku di Kuching pada akhir tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa nama mangsa terlibat dalam satu aktiviti jenayah.
Bimbang dengan ugutan tersebut, mangsa telah memindahkan sejumlah wang sebanyak RM415,464.00 ke empat akaun bank berbeza menerusi enam transaksi.
“Suspek turut berjanji akan memulangkan semula wang berkenaan pada 5 Januari lalu, namun gagal berbuat demikian,” katanya.
Susulan kejadian itu, mangsa telah membuat satu laporan polis dan satu kertas siasatan telah dibuka.
ACP Alexson mendedahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan media di Kuching pagi tadi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Wartawan: DICKIN
