RM6.99 JUTA DIPERUNTUK BAIK PULIH & BINA RUMAH DAIF DI LAWAS

LAWAS, 18 Jan – Sebanyak 706 buah rumah daif dan tidak selamat di Lawas telah dibaik pulih serta dibina baharu melibatkan peruntukan berjumlah RM6.99 juta.

Projek ini dilaksanakan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program tersebut kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri dalam usaha membantu membaik pulih rumah penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, dengan peruntukan disalurkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi kerja-kerja baik pulih rumah bermula tahun 2018.

β€œDi Lawas, sebanyak 706 projek baik pulih telah dilaksanakan melibatkan perbelanjaan RM6.99 juta dan usaha ini akan diteruskan bagi membantu rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, pelaksanaan PPRMS dilakukan secara gotong-royong dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN, agensi-agensi kerajaan serta ketua-ketua kaum.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di Skim Penempatan Semula Banting Fasa 4, Lawas, semalam.

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan bahawa Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) telah memberi manfaat kepada 50 buah rumah di Lawas.

β€œDaripada jumlah tersebut, 28 buah rumah melibatkan projek bina baharu manakala selebihnya merupakan kerja-kerja baik pulih.

Selain itu, sebanyak tujuh buah rumah telah menerima bantuan di bawah Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah di Lawas,” tambah beliau.

Wartawan/Foto: DALI

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *