SPRM FOKUS PULIH ASET, KES BERSKALA BESAR

Putrajaya, 14 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan hala tuju yang jelas dan berfokus bagi tempoh lima tahun akan datang dengan memberi keutamaan kepada pembanterasan jenayah kewangan berskala besar, pemulihan aset serta tindakan tegas terhadap ketirisan wang kerajaan.

Berdasarkan rekod enam tahun lalu, negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion akibat jenayah kewangan melibatkan kecurian dan ketirisan dana awam, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan lebih agresif dan berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, SPRM akan terus memberi tumpuan kepada kes-kes berprofil tinggi dan berskala besar, khususnya melibatkan kehilangan aset negara, selari dengan usaha pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.

β€œIsu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk SPRM 2026: Ke Mana Halatuju? di Studio MACCfm, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Tan Sri Azam turut memuji tahap dedikasi dan komitmen tinggi warga SPRM yang terus bekerja keras memastikan siasatan kes dapat diselesaikan walaupun berdepan tekanan serta serangan persepsi di media sosial.

Beliau berkata, tahun 2026 bermula dengan pendedahan kes besar hasil cetusan maklumat awam, namun menegaskan SPRM sebenarnya telah berada lebih awal dan jauh dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa peranan SPRM bukan sahaja tertumpu kepada aspek operasi dan penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha pencegahan bagi mendidik masyarakat, khususnya golongan muda.

β€œMendidik hampir 18 juta orang (berdasarkan data pemegang lesen kenderaan) bukan tugas mudah, namun sektor pencegahan perlu memainkan peranan lebih agresif dan mengadakan program berimpak tinggi kerana terdapat banyak maklumat tidak tepat di media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi,” katanya.

Mengulas mengenai serangan persepsi dan kecaman dunia maya, Tan Sri Azam berkata, persepsi tidak boleh dihalang sepenuhnya, namun ia perlu diurus dengan pantas dan berkesan melalui pemantauan serta tindak balas strategik.

Beliau berkata, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM diminta agar sentiasa peka terhadap sentimen dan komen berkaitan SPRM di platform media sosial agar dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

KERJASAMA MEDIA

Dalam aspek kerjasama media, Tan Sri Azam menyuarakan hasrat agar satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad dapat dirangka pada tahun ini bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan berkesinambungan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan setiap tindakan dan usaha yang dilaksanakan oleh sektor dan bahagian di SPRM mempunyai hala tuju yang jelas serta memberi impak tinggi kepada masyarakat.

Selain itu, warga SPRM diminta terus mengekalkan tahap disiplin, komited dan kekal berintegriti dalam melaksanakan tugas demi memastikan perjuangan membanteras rasuah dapat dilaksanakan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.

Sumber : SPRMMalaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *