Malaysia-Palang Merah Kenya akan meneroka ruang kerjasama yang lebih erat – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 NOV. 2025

Malaysia dan Palang Merah Kenya akan meneroka ruang kerjasama yang lebih erat termasuk dalam latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran demi memastikan tiada komuniti yang tercicir ketika berdepan bencana dan krisis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan memperkukuh kemanusiaan sejagat.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Palang Merah Kenya (Kenya Red Cross), Dr. Ahmed Idris.

Anwar berkata Dr. Ahmed mempunyai rekod cemerlang dalam kerja kemanusiaan, dasar awam dan undang-undang antarabangsa.

MEREKA BERTUKAR PANDANGAN

Dalam pertemuan ini, kata beliau antara mereka bertukar pandangan terkait peranan Palang Merah Kenya dalam melindungi masyarakat rentan, mengukuhkan kesiapsiagaan bencana serta memperbaiki rangka kerja dasar bagi menghadapi cabaran kemanusiaan yang semakin kompleks.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Palang Merah Kenya merupakan sebuah institusi yang sangat berpengaruh serta dihormati, termasuk dalam komuniti Islam, lantas menjadikan platform tersebut sebagai wadah mempromosikan nilai kemanusiaan dan ihsan secara berkesan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada Dr. Ahmed atas dedikasi memajukan agenda kemanusiaan di Kenya dan rantau Afrika.

Jelas Anwar Malaysia sentiasa percaya bahawa kekuatan sebuah negara bukan hanya dinilai melalui pembangunan fizikal, sebaliknya melalui komitmen menjunjung nilai belas ihsan, keadilan dan maruah insan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *