





Oleh: Sholina Osman
Foto Media Sosial
24 NOV 2025
Bencana banjir di Perlis semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini meningkat kepada 2,017 orang dengan melibatkan 594 keluarga.
Angka terkini sehingga pukul 8 malam ini (24 November) mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis.
Sehingga kini sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di mana menempatkan sebanyak 926 mangsa dari 263 keluarga di Parlimen Padang Besar, 612 mangsa dari 173 keluarga di Kangar dan 479 mangsa dari 158 keluarga dari Arau.
Antara faktor yang menjadikan banjir semakin buruk apabila hujan lebat yang masih berterusan, kadar kelajuan angin 20 km/h dan trend air sungai yang semakin meningkat.
BEBERAPA JALAN TERJEJAS
Sementara itu kenyataan media Timbalan Ketua Polis Perlis Senior Asistan Komisioner Mohd Ismail Ibrahim menjelaskan beberapa jalan terjejas dan ditutup iaitu Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, jalan menuju Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek,
Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam, Jalan Kangar-Padang Besar (berhampiran Agrovet Perlis), Jalan Kangar-Padang Besar (Bukit Chabang), Jalan Kaki Bukit-Gua Kelam (Biro Tata Negara), Bulatan Kilang Gula, Jalan Batas Liku Rani Estate, Jalan Kubang Gajah, Jalan Besar Arau-Kodiang, Jalan Kampung Gial, Jalan Syed Hussein dan Jalan Stesen KTM Arau.
Beliau menasihatkan orang ramai merancang perjalanan bagi menuju ke
sesuatu destinasi supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin serta mengelakkan kerosakan kenderaan.
“Mangsa terlibat dinasihatkan supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa supaya mematuhi arahan berpindah ke PPS demi keselamatan,”
tambah beliau. – JM
