




Wartawan JM
Foto FB Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 SEPT. 2025
Malaysia bakal menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Premier Republik Rakyat China Li Qiang dan kemungkinan besar Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin ke Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan Oktober depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran ketiga adikuasa ini yang memilih untuk hadir ke Malaysia sempena sidang kemuncak berkenaan.
“Pastinya ia menjadi ruang kepada untuk mempasak nilai dan sikap negara dalam pelbagai isu, selain ia menjadi medan bukti keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan negara dan keteguhan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Kumpulan AmBank di Kuala Lumpur malam tadi.
MELIHAT SENDIRI KEJAYAAN
Dalam ucapan, beliau tersentuh saat melihat sendiri kejayaan AmBank yang merupakan sebuah institusi kewangan tempatan yang telah berdiri tegap selama setengah abad.
“Saya menghimbau persahabatan erat saya bersama pengasas bank gergasi tersebut yakni Tan Sri Azman Hashim yang telah memungkinkan AmBank bergerak serta berkembang seiring dengan dasar dan kemajuan negara,” kata beliau.
Anwar berkata selain dukungan beliau secara peribadi kepada beliau dan keluarga, terutamanya saat menempuh detik-detik sukar dan gelisah suatu ketika dahulu.
Justeru, Perdana Menteri tegaskan betapa kejayaan bank ini mencerminkan wajah ketabahan dan daya saing anak watan yang mahu ikut serta membangunkan nusa tercinta.
Dan atas pengajaran itu juga kata beliau Malaysia yang merupakan negara yang kecil dan berdagang, tapi punyai dambaan yang besar ini harus menongkah arus deras perubahan dan susun rukun dunia yang semakin rencam dan kompleks dengan bijak, tidak melulu dan meletakkan “national interest” sebagai suluhan ke depan. – JM
