

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Google
8 SEPT. 2025
Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika didapati menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat menerusi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sehubungan itu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Kerajaan menerusi mengambil maklum berkenaan hantaran-hantaran media sosial berkaitan tindakan menaikkan harga barang oleh segelintir peniaga.
“Jika ia berlaku, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan siasatan dan akan bertindak mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” kata beliau dalam kenyataan media.
Amir Hamzah berkata pengguna digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN untuk membolehkan siasatan segera dilaksanakan.
MELALUI BEBERAPA SALURAN
“Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800,” kata beliau.
Dalam masa yang sama, Amir Hamzah berkata Kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima SARA.
Beliau berkata lebih 11.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA sejak pelaksanaan pada 31 Ogos 2025.
JUMLAH PERBELANJAAN RAKYAT
Tambah beliau ia melibatkan jumlah perbelanjaan rakyat daripada tujuh hari mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.
Sementara itu kata beliau pada hari kelapan pelaksanaan SARA telah berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat pukul 9.30 malam pada 7 September 2025.
Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini.
“Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut,” kata beliau. – JM
