






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
7 SEPT. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar umat Islam sentiasa mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, khususnya ketika berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk dengan masyarakat bukan Islam.
Baginda menekankan bahawa akhlak Islam yang penuh kasih sayang, adil dan menghormati keperluan mereka yang berlainan keyakinan, wajar menjadi contoh terbaik bagi membina masyarakat yang harmoni berasaskan nilai universal.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), berkenan berangkat ke Masjid al-Munawwarah, Ban Nam Lat, Daerah Sadao, Thailand sempena Program Kayuhan Merdeka 2025 yang dianjurkan secara bersama antara pihak MAIPs, dengan kerjasama Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan Pejabat Pegawai Daerah Sadao pada tahun ini.
MENYUMBANG FI SABILIAH
Dalam program ini, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada 15 orang anak yatim dan lima keluarga asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah tersebut, selain menyumbang Fi Sabilillah bagi menyokong aktiviti dakwah serta kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Turut mengiringi baginda ialah Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan Nattakan Sainoi, Pegawai Daerah Sadao.
MEMBINA JAMBATAN UKHUWAH
Program ini merupakan kesinambungan kepada Kayuhan Merdeka sebelum ini, bertujuan membina jambatan ukhuwah antara masyarakat Muslim di Perlis dan selatan Thailand serta menyemarakkan semangat kemerdekaan negara melalui aktiviti riadah dan dakwah serta diplomasi masyarakat.
Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kehadiran Bulan Rabiulawal bukan sahaja mengingatkan kita kepada kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW, tetapi juga mengingatkan mengenai kewafatan Baginda serta legasi perjuangan yang terus dipelihara oleh para pemuka Islam terdahulu.
Untuk rekod, sokongan dan kerjasama antara MAIPs dengan 6 Majlis Agama Islam Wilayah Andaman Selatan Thailand di Satun, Trang, Krabi, Phuket, Phang Nga dan Ranong telah terjalin sejak lebih satu dekad lalu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang pengurusan agama, dakwah dan pendidikan serantau, selain memperkukuh program trilateral melalui IMT-GT (Indonesia-Malaysia-Thailand), dan ASEAN keseluruhannya. – JM
