



Wartawan JM
28 Ogos 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan generasi pelajar berwawasan apabila berjaya menghimpunkan seramai 400 pelajar sekolah menengah dari lima buah sekolah sekitar Perlis dan Pulau Pinang sempena Program Inspirasi Varsiti UniMAP 2025 yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra, hari ini.
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan Program Inspirasi Varsiti UniMAP 2025 inj dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) JPT, Jabatan Pendidikan Negeri serta sekolah-sekolah terlibat.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata penganjuran program itu adalah sebahagian daripada usaha menyahut Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara 2025, sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasa pelajar dalam aspek kepimpinan, penguasaan STEM, literasi digital, nilai patriotisme serta kesiapsiagaan menghadapi era digital dan kecerdasan buatan (AI).
MEMUPUK SEMANGAT KEPIMPINAN
βMelalui pengisian yang dirangka, program ini bukan sahaja memupuk semangat kepimpinan dan nilai murni, malah memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kehidupan di alam universiti,” katanya.
Beliau berkata peserta diberi peluang merasai suasana pembelajaran, tinggal bersama rakan sebaya di kolej kediaman serta mengurus keperluan harian seperti mahasiswa.
βSepanjang program, anda akan mengikuti pelbagai modul pembangunan diri seperti Hi Adik Junior, STEM Bluster, Ejen Siber, Engaging Minds dan Empower Talent, selain sesi motivasi dan perkongsian pengalaman daripada alumni UniMAP yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing,β ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar& Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Penolong Pengarang Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohamad Nor Suhaili Jamali.
MELUAHKAN RASA TERUJA
Sementara itu, seorang pelajar Muhammad Azkar Abidin Mohd Rizan, 16 , dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, ketika ditemui meluahkan rasa teruja kerana berpeluang mengikuti program itu.
βSaya seronok dapat menyertai program ini sebab dapat rasa pengalaman seperti pelajar universiti. Kami masuk kelas, duduk serumah dengan kawan-kawan dan dapat menikmati makanan di kafe kampus. Harap sangat UniMAP buat lagi program seperti ini pada masa akan datang,β katanya.
Seorang lagi peserta, Nur Fatin Afina Noor Azli, 16 , turut berkongsi pengalaman manis sepanjang berada di UniMAP mengikuti program berkenaan.
βProgram ini membuka mata saya tentang suasana di universiti. Seronok sebab dapat belajar cara berdikari, bergaul dengan kawan-kawan baharu dan merasai kehidupan di kampus sebenar. Saya rasa lebih bersemangat untuk capai cita-cita dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi,β jelasnya.
Program ini turut merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan pembangunan modal insan berkualiti bermula sejak di bangku sekolah.
Melalui pendedahan awal ini, pelajar bukan sahaja lebih bersedia melanjutkan pengajian ke universiti, malah mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Program Inspirasi Varsiti UniMAP 2025 dilaksanakan dalam dua fasa utama.
Fasa pertama yang berlangsung pada hari ini menghimpunkan 400 pelajar, manakala fasa kedua bakal diadakan dengan penglibatan lebih besar, iaitu melibatkan seramai 600 pelajar sekolah menengah sekitar negeri Perlis. – JM
