


Oleh: Sholina Osman
24 OGOS 2025
Pagi Subuh yang mengejutkan!
Rata-rata penduduk di Segamat, Johor trauma apabila pertama kali berhadapan dengan detik-detik cemas berlakunya gegaran gempa bumi lemah selama lebih kurang tiga saat pada pukul 6.13 pagi ini.
Bagaimanapun pengalaman merasai rumah bergegar, bumbung rumah bagai dihempap, bunyi letupan kuat bagai bom adalah sangat mengejutkan penduduk.
Dalam perkongsian hantaran di FB Komuniti Segamat, Zalifah Ismail menjelaskan pada masa kejadian beliau baharu saja keluar dari kereta di pekan Jabi.
AKUI HAMPIR PENGSAN
Beliau akui hampir pengsan kerana terkejut dengan bunyi gempa bumi yang dirasanya sangat kuat.
Raa Zainudin yang merasai gempa bumi itu di Bukit Siput menceritakan kipas siling rumahnya kuat bergoyang.
“Saya tidak berhenti berzikir, mengucap,” katanya semasa berkongsi pengalaman ini.
Ibrahim Embam Pakso Beraim dalam komen menjelaskan kejadian ini
ketika beliau bersama jemaah surau Kampung Berata sedang sujud solat Subuh berjemaah.
Hanafi Hamdan dalam komen menyebut Taman Wijaya Buluh Kasap pun sama dan gegaran yang dirasai begitu kuat bagai letupan.
TAYAR LORI MELETUP
Jamalliah Tauhet menceritakan gegaran itu dirasai di Taman Suria Buluh Kasap yang pada mulanya beliau mula ingatkan tayar lori meletup.
Mohd Szahid merasai gegaran ini semasa rakaat pertama solat subuh di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa.
Erry Hazad dari Taman Permai 3 Kampung Tengah menceritakan bumbung rumahnya bergegar kuat macam dihempap sesuatu.
Seorang pesakit di Wad Hospital Segamat, Siti Rohani berkata pada masa kejadian dia melihat semua katil bergegar. – JM
