Raja Muda Perlis saksi serahan dewan besar UniMAP siap dibina lebih awal

Oleh: Sholina Osman
22 OGOS 2025

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila projek pembinaan dewan besarnya berjaya disiapkan lebih awal dari tarikh jangkaan siap iaitu 15 Ogos 2025.

Projek yang dibangunkan atas tapak berkeluasan 38,218 meter persegi ini bakal menjadi mercu acara berprestij untuk majlis konvokesyen, persidangan dan pelbagai acara rasmi peringkat negeri serta kebangsaan.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, kejayaan ini merupakan simbol komitmen universiti terhadap penyediaan fasiliti bertaraf tinggi.

β€œDewan ini bukan sekadar tempat acara, ia adalah simbol kebanggaan warga UniMAP dan umat Perlis.

DEDIKASI SEMUA PIHAK

β€œSiapnya dewan ini lebih awal daripada jadual membuktikan dedikasi semua pihak untuk memastikan projek ini berjaya dengan kualiti terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Majlis Penyerahan Dewan Besar diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP yang menyaksikan dewan ini diserahkan kepada UniMAP yang diwakili oleh Naib Canselor baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) Datuk Azman Md Hashim; dan wakil Maju Merge Resources Sdn. Bhd., Ts Siti Syauqiah Zainuddin.

ACARA-ACARA BERPRESTIJ

Tambah Zaliman lagi, dengan kelengkapan moden dan kapasiti besar, dewan ini diyakini mampu menjadi tumpuan utama penganjuran acara-acara berprestij, sekali gus memperkukuh reputasi UniMAP sebagai universiti teknikal yang dinamik dan berdaya saing.

β€œBangunan utama berkeluasan 4,671 meter persegi ini mampu menampung hampir 3,500 orang pada satu-satu masa yang dilengkapi pentas utama; ruang dewan dengan 2,500 tempat duduk bebas dan 995 tempat duduk tetap; bilik kawalan; bilik persalinan; termasuk tandas dan juga tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU); serta kemudahan penebat gema.

β€œManakala kemudahan luar dewan pula melibatkan sistem perparitan; rangkaian paip pembetungan; retikulasi air luaran; jalan dalaman; 205 petak parkir kereta biasa; lapan petak parkir OKU; dan 84 petak parkir motosikal,” katanya.

SEBAGAI AGENSI PELAKSANA

Dalam pada itu, Zaliman turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Maju Merge Resources Sdn. Bhd. dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas komitmen menyiapkan projek ini.

β€œProjek ini pada asalnya dijadualkan siap pada 3 Julai 2025. Namun, selaras dengan syarat-syarat kontrak, tarikh siap dilanjutkan (EOT 1) kepada 15 Ogos 2025.

β€œAlhamdulillah, hasil usaha dan kerjasama semua pihak, Perakuan Siap Kerja (CPC) berjaya dikeluarkan pada 14 Ogos 2025, iaitu 1 hari lebih awal daripada tarikh siap semasa,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *