

Oleh: Sholina Osman
19 OGOS 2025
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memberi peringatan kepada orang awam, terutamanya pihak media untuk tidak mendedahkan kepada umum identiti lima remaja yang bakal didakwa berkaitan kes buli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Kenyataan media Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM hari ini (19 Ogos) memaklumkan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang
adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung sama ada nama,
gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum,” kata kenyataan itu.
Seksyen 15 Akta 611 tersebut itu juga
memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding
mahkamah.
HUKUMAN TERMASUK DENDA
“Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
Fokus utama SUHAKAM adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak-kanak yang terlibat.
“Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima,” tambah kenyataan itu.
Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa untuk mengemaskini dasar
dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-
apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
BERPOTENSI MENAMBAH MUDARAT
Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat.
Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan
berbahaya tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang.
Kegagalan untuk bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan boleh dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.
Keadilan perlu dilaksanakan mengikut prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang. – JM
