Sesiapa mempunyai hutang, lunaskan kepada pihak yang berhak – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
18 OGOS 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar sesiapa yang mempunyai hutang, hendaklah melunaskannya kepada pihak yang berhak.

Dalam menjalankan perniagaan pula, peniaga seharusnya sentiasa berpegang kepada syariat yang telah ditetapkan oleh agama, serta dipenuhi dengan rasa takut dan taqwa kepada Allah.

Baginda bertitah hanya dengan pengurusan yang telus dan beretika, barulah perniagaan yang dibina mampu berkembang secara mampan dan memberi manfaat jangka panjang.

PERLU SENTIASA CAKNA

β€œBagi terus maju dan berdaya saing, para usahawan di negeri ini perlu sentiasa cakna dengan perkembangan ekonomi global, memahami kehendak pasaran secara mendalam, serta bersedia untuk meneroka peluang-peluang baharu yang muncul seiring dengan perubahan dinamik dunia hari ini,” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Taklimat Usahawan Negeri Perlis anjuran Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) dengan kerjasama Tekun Nasional di Dewan Sivik Arau baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid dan Yang Dipertua MPKangar, Affendi Rajini Kanth.

USAHA MEMPERKUKUH EKOSISTEM

Kerjasama antara MPKangar dan TEKUN Nasional merupakan langkah strategik yang merupakan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.

Inisiatif ini memberi penekanan khusus kepada sokongan kewangan bagi peniaga kecil serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi nadi utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 400 usahawan negeri Perlis yang bertmatlamat untuk memberi pendedahan berharga mengenai pelbagai peluang pembiayaan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional, di samping menyediakan ruang interaksi secara terus antara para usahawan dan pihak TEKUN.

MEMPERKUKUH JARINGAN KEUSAHAWANAN

Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh jaringan keusahawanan serta memacu kemajuan ekonomi di negeri Perlis.

Menurut Abdullah, seramai 9,958 orang usahawan telah menerima manfaat pembiayaan TEKUN yang berjumlah RM170.6 juta bagi tempoh sepanjang penubuhan TEKUN sejak tahun 1998.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak 292 pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM6.7 juta bagi negeri Perlis.

PELBAGAI PROGRAM LATIHAN

β€œManfaat daripada program ini bukan hanya dari aspek pembiayaan, Ia turut membuka ruang kepada pelbagai program latihan, kursus dan bimbingan keusahawanan bagi meningkatkan daya saing dan kecekapan para peniaga dalam mengurus serta mengembangkan perniagaan mereka,” tambah beliau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut dan menyaksikan penyampaian replika cek pinjaman TEKUN kepada 6 orang penerima yang disempurnakan oleh Pengerusinya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,000.

Baginda turut berkenan menyaksikan simbolik Pertukaran Kerjasama Strategik di antara MPKangar dan juga TEKUN Nasional.

Raja Muda Perlis menzahirkan agar MPKangar perlu terus memainkan peranan penting di dalam membantu para usahawan di Negeri Perlis serta memperbanyak penganjuran program-program pendidikan dan kesedaran seperti ini kepada para usahawan di negeri ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *