AGC: Papar Jalur Gemilang secara tidak wajar boleh dikena tindakan undang-undang

Oleh: Sholina Osman
15 OGOS 2025

Sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan Jalur Gemilang secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran
awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk
menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara, serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.

AGC dalam kenyataan media hari ini (15 Ogos) memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibar atau memasang Jalur Gemilang secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara yang sepatutnya.

PEMASANGAN JALUR GEMILANG

Antara kejadian yang dimaksudkan adalah pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang dan di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Juga berlaku pemaparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Perkara sama juga berlaku dalam akaun media sosial rasmi milik akhbar Sin Chew Daily, Kwong Wah Yit Poh dan Harian Metro.

Dalam pada itu, AGC juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak
mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa jua yang disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut.

BERTINDAK MENYERBU PREMIS

Antaranya dengan bertindak menyerbu premis pihak yang disyaki dan tularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial.

Juga jangan mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat.

Jangan memgambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.

Sebaliknya, segala aduan atau maklumat berkaitan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan
undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *