






Oleh: Sholina Osman
11 OGOS 2025
Hampir 2,000 peserta telah memeriahkan program Eco Fun Run, larian santai sejauh 6 kilometer mengelilingi Bukit Lagi Ecopark, bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis hari ini (10 Ogos).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian program tersebut uang diadakan di pekarangan Dewan 2020 Kangar.
Turut berangkat sama ialah anakanda putera Baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama mengiring ialah Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
DUA KATEGORI LARIAN
Program anjuran Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ini menawarkan dua kategori larian iaitu 6km Fun Run β Dewasa untuk peserta berumur 19 tahun ke atas, dan 6km Fun Run untuk remaja serta kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Terdahulu daripada itu baginda berdua turut berkenan menyempurnakan acara βflag offβ dan seterusnya menyertai larian melalui laluan yang merangkumi lokasi-lokasi menarik serta hentian mesra alam seperti Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen, Medan Taman Awam Eco Perlis, stesen minuman di Elissa Hotel, dan Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra.
Acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian santai, malah memperkukuh kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar menerusi aktiviti βploggingβ iaitu beriadah sambil mengutip sampah yang disertai para peserta.
Sebagai acara kemuncak, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen berkenan mengurniakan hadiah utama cabutan bertuah Eco Fun Run, iaitu berupa dua buah motosikal elektrik kepada para pemenangnya. – JM
