


Oleh: Sholina Osman
6 OGOS 2025
Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan media hari ini (6 Ogos) berkata, Mohd Husni, 56 dilantik memegang jawatan ini selama 2 tahun.
“Beliau merupakan seorang tokoh korporat dan pentadbir yang berpengalaman luas, dengan kerjaya lebih 34 tahun merentasi sektor kerajaan, agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat,” katanya.
Dr Zaliha berkata, Mohd Husni berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari West Virginia University, Amerika Syarikat.
MENGETUAI UNIT PENERAJU
“Mohd Husni pernah mengetuai Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama 8 tahun bermula 2011 hingga 2018,” ujar beliau.
Ketika menerajui TERAJU, kata Dr Zaliha, beliau turut berperanan sebagai Ketua Sekretariat
kepada Majlis Ekonomi Bumiputera Nasional serta Majlis Ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak, sekali gus menerajui pelaksanaan agenda transformasi ekonomi Bumiputera melalui pelbagai inisiatif pelaburan, pembiayaan dan
pembangunan perniagaan nasional.
“Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Tadbir Urus (Chief Governance Officer) di Sumner Group Health Medical Devices Limited
di United Kingdom; Ketua Pegawai Eksekutif, Maju Holdings Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP); dan Ketua Pegawai Operasi, MSC Venture Management,” kata Dr Zaliha.
Sepanjang kerjayanya, kata Dr Zaliha, Mohd Husni telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Jewels of the Muslim World Award daripada OIC Today Magazine (2019), Global Leadership Award for Leadership Excellence in
Community Transformation (2017) serta Innovative Leadership Award daripada Limkokwing University (2016).
MEMPERKUKUHKAN LAGI PERANAN
“Saya percaya, dengan pengalaman dan latar belakang yang luas, pelantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan akan memperkukuhkan lagi peranan strategik Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan yang
berdaya saing, khususnya dalam memperkasakan daya tarikan pelaburan, memperluas ekosistem ekonomi tempatan serta meningkatkan kualiti hidup
masyarakat di pulau tersebut,” tambah beliau.
Beliau juga mengucapkan setinggi penghargaan diucapkan kepada Tan Sri Anifah Aman atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau
sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan sejak Jun 2023. – JM
