






Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya negara yang madani tidak hanya berteraskan teknologi atau AI semata, tetapi juga dipandu oleh nilai, akhlak dan adab.
Jelas beliau rakyat boleh berbeza pandangan, boleh tegas dalam menyampaikan hujah tetapi mesti kekal pada landasan ilmu dan intelek.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50, bertajuk βPengintegrasian Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sistem Pendidikan Menjadi Cabaran Bagi Memperkukuh Reformasi Pendidikan Selaras Dengan Revolusi Industri 5.0β.
Perdana Menteri percaya negara yang madani tidak hanya berteraskan teknologi atau AI semata, tetapi juga dipandu oleh nilai, akhlak dan adab.
TETAPI MESTI KEKAL
“Kita boleh berbeza pandangan, boleh tegas dalam menyampaikan hujah tetapi mesti kekal pada landasan ilmu dan intelek,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, bahas ini bukan sekadar gelanggang berhujah.
“Ia adalah medan membentuk watak, mendidik jiwa dan menyemai adab dalam menegak hujah,” kata beliau.
Beliau berkata, pertandingan ini mencerminkan betapa anak-anak kita bukan sahaja bijak berhujah, tetapi juga kukuh nilai dan teguh akidah.
BERPIJAK DI BUMI
“Mereka menguasai ilmu, tetapi tetap berpijak di bumi dengan rendah hati,” kata beliau.
“Saya sendiri pernah menyertai debat semasa Tingkatan Lima. Dari situ saya belajar, bahawa kekuatan berbahas bukan hanya pada hujah yang kita ketengahkan, tetapi pada disiplin akal dan kematangan emosi,” kata beliau.
Sebagai suntikan semangat sempena ulang tahun ke-50 pertandingan ini, Perdana Menteri turut menghadiahkan sebuah piala baharu yang akan digunakan dalam edisi-edisi akan datang sebagai simbol penghargaan kepada semangat intelektual dan budaya ilmu anak bangsa.
“Tahniah kepada semua yang terlibat. Teruskan menyuburkan budaya ilmu dan adab demi Malaysia yang lebih bijaksana dan berakhlak tinggi,” tambah beliau. – JM
