



Wartawan Jendela MADANI
18 JULAI 2025
Demi menyemarakkan budaya penyayang dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja universiti, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli meluangkan masa menziarahi tiga orang staf universiti yang sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Pusat Komunikasi Korporat
UniMAP dalam kenyataan media memaklumkan antara staf yang diziarahi ialah Pembantu Khidmat Am, Jabatan Pembangunan, Sazali Othman; Setiausaha Pejabat, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Nordiana Jamadin; dan Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKEE), Dr. Surina Mat Suboh.
Menurut Zaliman, lawatan tersebut merupakan manifestasi sokongan moral dan empati pihak pengurusan tertinggi UniMAP terhadap warga kerja yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
βKesihatan dan kebajikan staf adalah keutamaan kami. Lawatan seperti ini bukan sekadar formaliti, tetapi tanda penghargaan serta solidariti institusi kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh dedikasi,β katanya.
SUMBANGAN BANTUAN PRIHATIN
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin dan cenderahati kepada ketiga-tiga staf yang menerima rawatan, di bawah inisiatif Tabung Kebajikan Staf UniMAP.
βBantuan ini merupakan antara usaha berterusan universiti dalam menjaga kebajikan serta kebersamaan dalam kalangan komuniti kampus,β katanya.
Dalam kesempatan sama, Prof. Dr. Zaliman turut menyempurnakan penyampaian bayaran manfaat kematian di bawah skim Takaful Hayat Berkelompok Staf UniMAP, berjumlah RM10,000.00 kepada Emma Nur Farahin A. Bakar, balu kepada Allahyarham Mohd Rizuan Zulkifli, staf Jabatan Keselamatan yang meninggal dunia pada 11 Mac 2025.
βAllahyarham merupakan antara anggota sokongan UniMAP yang banyak menyumbang dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan kampus, dan pemergian beliau amat dirasai seluruh warga universiti.
SUMBANGAN WARGA STAF
βSumbangan tersebut adalah hasil sumbangan warga staf melalui Tabung Kebajikan Staf UniMAP yang diwujudkan khusus bagi membantu ahli keluarga staf dalam situasi musibah seperti kematian, kemalangan atau bencana,β katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif yang digerakkan oleh pihak universiti melalui Tabung Kebajikan ini menjadi lambang keprihatinan institusi terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga kerjanya, sejajar dengan nilai-nilai murni korporat yang diterapkan dalam pentadbiran UniMAP.
βUniMAP komited untuk terus menambah baik pelbagai kemudahan dan sokongan kebajikan demi memastikan staf sentiasa merasa dihargai dan terbela, lebih-lebih lagi dalam situasi getir seperti ditimpa penyakit atau kehilangan ahli keluarga tersayang.
βBagi pihak pengurusan, kami mengucapkan terima kasih kepada semua staf atas sumbangan dan jasa mereka. Diharapkan inisiatif kebajikan seperti ini terus mendapat sokongan dan penyertaan menyeluruh daripada seluruh warga UniMAP,β katanya.
Program lawatan tersebut diakhiri dengan doa serta ucapan semangat kepada staf yang sedang dirawat agar dikurniakan kesembuhan dan kekuatan untuk kembali bertugas seperti sediakala. – JM
