Pelajar perlu bertanggungjawab, berintegriti, berjiwa besar sebagai bakal pemimpin – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
12 JULAI 2025

Kepimpinan bukan sekadar jawatan atau gelaran. Ia adalah amanah, tanggungjawab dan teladan.

Pemimpin yang dihormati adalah mereka yang berakhlak mulia, bijaksana dalam membuat keputusan, dan sentiasa meletakkan kepentingan ummah mengatasi kepentingan peribadi.

Namun, setiap pemimpin hebat itu bermula daripada akar yang sama iaitu sebagai seorang pelajar.

Pelajar yang baik ialah pelajar yang berdisiplin, berusaha gigih, menghormati guru, menyantuni rakan, serta sentiasa mencari ilmu dengan rendah hati.

MEMBENTUK ASAS KEPIMPINAN

Sikap beginilah yang kemudiannya membentuk asas kepimpinan yang kukuh, yakni pemimpin yang bukan hanya cerdas fikirannya, tetapi juga jernih akhlaknya.

Para pelajar diseru supaya terus memupuk sikap cinta ilmu, menghargai masa, dan membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Pemimpin masa hadapan negeri ini yang bakal memimpin sekolah, komuniti, negeri, bahkan negara dengan syarat mereka membina asas yang kukuh hari ini sebagai pelajar yang bertanggungjawab, berintegriti dan berjiwa besar.

PROGRAM TITIAN KASIH

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan di Bukit Keteri.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Datuk
Jaafar Hassan, Euw Mooi Guik.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SERAMAI 456 PELAJAR

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan penyertaan seramai 456 pelajar, terdiri daripada 226 lelaki dan 230 perempuan, merangkumi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.

Pengetua sekolah, dalam ucapan alu-aluanya turut berkongsi kejayaan pelajar-pelajar sekolahnya dalam pelbagai bidang.

Dalam kurikulum, Jeff Jetrin a/l Boon cemerlang dengan straight A’s SPM 2024 dan naib johan NILAM Bahasa Inggeris Zon Utara.

Najla Nur Arsyu Alya muncul johan NILAM Bahasa Melayu 2025, manakala Muhammad Adam Darwisy pula naib johan Mimbar Daie Lelaki Peringkat Utara.

DALAM KEJOHANAN BERBASIKAL

Bidang kokurikulum pula, Jitipong a/l Pra Pom mewakili Perlis dan mencatat kejayaan dalam kejohanan berbasikal peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Muhammad Iwadh Shafiy menyertai Jambori Pengakap Malaysia & IUMS, manakala pasukan frisbee lelaki dan perempuan muncul tempat ketiga dalam Johor Youth Ultimate Open (U17).

Kejayaan turut dikecapi dalam unit Hal Ehwal Murid (HEM) apabila asrama sekolah berkenaan meraih naib johan Karnival Seni Budaya Asrama 2023.

Program EAA turut dilaksanakan bagi memupuk sahsiah dan kehadiran murid yang konsisten.

PROGRAM PENDIDIKAN KHAS

Lebih membanggakan, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mengharumkan nama sekolah.

Muhammad Haikal Rashid muncul juara Merentas Desa Pendidikan Khas MSSPs dan kini menjalani latihan untuk mewakili Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Isma Ammar Danial pula meraih tempat ketiga Malaysia IT Challenge 2025, manakala pasukan futsal wanita PPKI pula dinobatkan naib johan Liga Sukan OKU (LISOKU) Peringkat Negeri.

Kejayaan ini membuktikan tiada batasan untuk cemerlang.

INISIATIF ISTIMEWA SEKOLAH

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan SMK Datuk Jaafar Hassan Showcase Studio yang merupakan inisiatif istimewa sekolah bagi mempamerkan hasil kerja dan projek terbaik murid dalam kelas.

Guru mata pelajaran akan memilih projek terbaik untuk diketengahkan, dan bahan pameran ini akan dikemas kini setiap bulan.

Inisiatif ini turut menyokong pelaksanaan Project-Based Learning (PBL) mengikut subjek masing-masing, sejajar dengan pelaksanaan program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) di sekolah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *