




Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 JULAI 2025
Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia.
“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT
Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang mencerminkan komitmen bersama untuk melonjak hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pertemuan ini membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata beliau.
Akhir pertemuan, Anwar turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, Oktober ini. – JM
