
Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, ini selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.
Sebelum itu beliau menghubungi Perdana Menteri Mark Carney, untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.
MEMBUAT PANGGILAN TELEFON
Anwar yang kini dalam lawatan rasmi ke Paris mengambil masa di celah kesibukan itu untuk membuat panggilan telefon kepada Carney.
Beliau berkata, Malaysia juga kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
“Saya menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek LNG Canada, yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” katanya pada hantaran di FB.
PRINSIP PERDAGANGAN BEBAS
Anwar berkata, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.
Beliau dan Carney juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama.
Beliau turut menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara. – JM
