






Oleh: Sholina Osman
24 MAC 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) mengutamakan pandangan rakyat dalam sebarang perancangan pembangunan bandar selaras dengan Rancangan Tempatan 2035.
Baginda bertitah, malah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga seharusnya menyokong inisiatif rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui dalam membangunkan sebuah bandar mampan.
βSebagai Smart City Early Adopter, MPKangar mesti berusaha menjadikan Perlis sebagai sebuah bandar pintar terkehadapan di Malaysia,β titah Baginda.
MAJLIS IFTAR MAHABBAH
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat pada Majlis Iftar Mahabbah anjuran Puspanita MPKangar dan Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) di Dewan Sivik MPK Arau.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua juga berkenan menyaksikan pemberian sumbangan kepada anak-anak asnaf sempena bulan Ramadan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, MPKangar juga perlu mengukuhkan integriti melalui pemantauan,β¨penguatkuasaan dan penglibatan bersama masyarakat.
PENDEKATAN HOLISTIK PENTING
βKakitangan berwibawa dan pendekatan holistik penting dalam menjadikan MPKangar sebuah entiti PBT yang peka dan adaptif terhadap perubahan undang-undang,” titah Baginda.
Titah Baginda, ini termasuk memastikan pematuhan dan budaya kerja yang proaktif serta melakukan penambahbaikan secara berterusan.
Titah Baginda, komunikasi dua hala penting dengan melibatkan pemegang taruh melalui sesi libat urus dan dialog awam bagi memastikan program MPKangar memberi impak positif.
βOleh itu, MPKangar perlu merangka pelan pembangunan komuniti dengan kerjasama jabatan dan agensi bagi kejayaan bersama,β titah Baginda. – JM
