Lebih 500 peserta ikuti Seminar Keajaiban Qiyamullail anjuran Jabatan Mufti Perlis

Oleh: Sholina Osman
20 MAC 2025

Lebih 500 peserta termasuk dari dalam dan luar Perlis menyertai Seminar Keajaiban Qiyamullail yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar, semalam (19 Mac).

Seminar yang bermula 8.30 pagi dan berakhir 1 tengah hari ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Masjid Alwi, Kangar.

Ia bertujuan bagi memperkukuh kefahaman umat Islam mengenai keistimewaan qiyamullail serta menggalakkan amalan tersebut di bulan Ramadan ini.

Seminar ini dibarisi oleh tiga pembentang iaitu Pengasas Akademi al Quran Imam al Syaf’ie AQIS, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil yang menyampaikan ceramah bertajuk “Maqasid Qiyamullail”.

BERKAITAN QIYAM RAMADAN

Pembentang kedua pula Timbalan Dekan Pascasiswazah & Penyelidikan FQS, UniSIRAJ, Ustaz Ali Abdul Jalil dengan tajuk “Hukum-Hakam Berkaitan Qiyam Ramadan”.

Manakala pembentang ketiga oleh Dekan Fakulti al Quran & Sunnah, UniSIRAJ, Dr. Muhammad Lukman Mat Sin bertajuk “Salaf & Qiyamullail”.

Kemuncak program kali ini ialah ucaptama seminar telah disampaikan oleh Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau menekankan peranan qiyamullail dalam membentuk jiwa yang teguh dan tegap keyakinan terhadap Pencipta.

BUKAN SEKADAR SOLAT

Menurut beliau, qiyamullail bukan sekadar solat malam, tetapi ia satu bentuk kekuatan jiwa dan penawar kehidupan.

“Bagi kebanyakan hadirin, seminar ini telah membuka ruang untuk lebih memahami dan menghayati qiyamullail, terutama dalam menghampiri 10 malam terakhir Ramadan, yang merupakan detik istimewa bagi umat Islam untuk meningkatkan amalan dan meraih keberkatan lailatul qadar,” katanya.

Rata-rata peserta menyifatkan inisiatif mengadakan seminar ini sangat memberikan manfaat khususnya bagi menambahkan ilmu berkaitan qiyamullail.

Pemahaman mengenai qiyamullail ini penting supaya dapat menyedarkan umat Islam untuk melakukan amalan yang menjadi darah daging kepada para nabi, rasul, orang soleh sejak dahulu lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *