


Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur kerana ekonomi Malaysia mencatat prestasi hebat dengan pertumbuhan KDNK 5.1 peratus pada 2024.
Beliau berkata, ia mengatasi unjuran asal antara 4-5 peratus serta melonjak jauh lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada 2023.
“Lebih membanggakan, Kerajaan MADANI juga berjaya mengurangkan defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan) kepada 4.1 peratus, lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus,” katanya dalam perkongsian di FB.
MELONJAK 12 PERATUS
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan kukuh ini didorong oleh peningkatan pelaburan yang melonjak 12 peratus yakni tertinggi dalam 12 tahun, serta eksport yang terus berkembang, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Beliau berkata, pemulihan pelancongan dan pelaksanaan pantas projek infrastruktur utama turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Tambahnya, pencapaian ini menjadi bukti keberkesanan dasar Ekonomi MADANI, terutama dalam memateri keyakinan pelabur serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja untuk mengekalkan momentum positif ini dan meningkatkan lagi prestasi pada tahun ini demi kemakmuran rakyat,” katanya. – JM
