Oleh: Sholina Osman
15 FEB. 2025
Gua Kelam Chalet merupakan destinasi pelancongan baharu di Negeri Perlis yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kemudahan penginapan yang selesa, menawarkan pengalaman unik kepada para pengunjung.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Gua Kelam Chalet di Kaki Bukit.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengasas Gua Kelam Chalet, Lim Poh Leng.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
PENGALAMAN LUAR BIASA
Lim Poh Leng dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa chalet ini direka khas untuk menawarkan pengalaman luar biasa kepada para pengunjung sambil memastikan kelestarian ekosistemnya terus terpelihara selaras dengan usaha menjadikan Perlis sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan mesra alam.
Menurut beliau, selain menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, Gua Kelam Chalet juga diharapkan dapat menjana ekonomi tempatan, mencipta peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti setempat.
“Saya percaya bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan negeri ini yang lebih progresif”, tambah pengasas Gua Kelam Chalet itu lagi.
SIMBOLIK PERASMIAN CHALET
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian chalet tersebut dan mengadakan lawatan ke bilik-bilik serta kemudahan-kemudahan yang disediakan di chalet tersebut.
Gua Kelam Chalet menyediakan 17 bilik kepada para pelanggan dengan 6 jenis bilik iaitu ‘Presidential Suite’, ‘Family Suite’, ‘Junior Suite’, ‘Superior Room’, ‘Deluxe Room’ dan ‘Standard Room’ yang berharga sekitar RM160 sehingga RM 603.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah wifi percuma, kolam renang, permainan ping pong, berbasikal, memanah, tempat letak kenderaan yang luas serta beberapa kemudahan yang lain lagi.
Di majlis yang sama Gua Kelam Resort Sdn Bhd turut menyerahkan sumbangan berjumlsh RM10,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterima oleh Setiausaha Kehormatnya Datuk Johari Mohd Darus. – JM