






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
11 FEB. 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima sumbangan 300 naskhah buku Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, sebuah autobiografi ‘Sang Pelita Umat’ untuk diagihkan kepada semua masjid-masjid di Perlis.
Buku ini mengisahkan perjalanan hidup Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi sejak kecil sehingga menjadi seorang ulama terkemuka, termasuk perjuangannya dalam bidang dakwah dan ilmu pengetahuan.
Naskhah ini diterbitkan di Malaysia oleh Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat Johawaki Holdings Sdn Bhd.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan majlis penyempurnaan penyerahan sumbangan tersebut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Datuk Johari Mat kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Haji Mohd Noor sempena keberangkatan Baginda ke Galeri Buku Darul Fikir, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
DISUMBANGKAN KEPADA SEKOLAH
Sebanyak 100 naskhah al-Quran Rasm Uthmani Bertajwid terbitan Darul Fikir pula disumbangkan kepada Sekolah Muslim Wittaya di Phuket, Thailand, yang akan disampaikan melalui MAIP dan diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd, Datuk Mohd Zaki Ahmad.
Dalam majlis yang sama, sebanyak 50,000 naskhah buku βAdab Perbezaan Pendapat dalam Islamβ karangan Dr. Taha Jabir Fayyadh Al ‘Alwani, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), telah disumbangkan untuk sekolah-sekolah menengah, institutusi-institusi pendidikan Islam, pusat latihan serta sekolah-sekolah agama di Perlis pula diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, kepada pihak MAIPs.
Majlis ini turut dihadiri oleh Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Sri Dr. Syed Hussein Abd. Kadir Al Habshee serta Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran.
SATU FORUM SANTAI
Majlis sumbangan tersebut turut diserikan lagi dengan satu forum santai membincangkan berkaitan “Perubahan Iklim Global dan Tanggungjawab Kita”.
Sebagai rekod, Darul Fikir telah mula beroperasi pada tahun 1984 dengan misi menjadi penerbit dan percetakan buku terkemuka dan juga memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Syarikat ini telah mengumpul, menerbit dan mengedar judul-judul tempatan dan antarabangsa yang merangkumi pelbagai genre.
Selain daripada aktiviti penerbitan dan percetakan, Darul Fikir turut menyediakan kelas pembelajaran kaedah IQRA’ dan al-Quran untuk guru-guru Sekolah Kebangsaandan KAFA di seluruh Malaysia melalui Akademi Al-Quran Darul Fikir. – JM
