




Oleh: Sholina Osman
Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis
6 FEB. 2025
Sanggup lari tinggalkan bot setelah menyedari akan kehadiran pihak berkuasa.
Rupa-rupanya bimbang rahsia membuat kerja menyeludup diesel dengan cara mengubahsuai ruang dalaman bot akan terbongkar.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis bertindak segera setelah mendapat maklumat risikan bahawa sebuah bot fiber dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya berjaya merampas sebuah vesel nelayan asing (VNA) yang ditinggalkan tanpa pemilik dan nombor pendaftaran berhampiran Jeti Nelayan Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, awal pagi semalam.
BOT TERSEBUT DITINGGALKAN
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai setelah pemiliknya melarikan diri ke daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” jelas beliau dalam kenyataan media.
Ujar Mohd Hashim lagi, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati ia telah diubah suai dengan ruangan khas yang disyaki digunakan untuk menyimpan minyak diesel.
“Dua paip hos yang masih mempunyai kesan minyak diesel turut ditemui, dipercayai digunakan bagi aktiviti keluar masuk bahan api tersebut,” katanya.
KESELURUHAN NILAI RAMPASAN
Beliau menambah, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM70,000.00 dan kesemua barang kes telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, iaitu kesalahan mengendalikan atau membenarkan pengendalian vesel penangkapan ikan tanpa lesen yang sah di perairan Malaysia.
VESEL PENANGKAPAN IKAN
Kes berkenaan turut disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan), yang melarang vesel penangkapan ikan daripada membawa penumpang atau kargo.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.
Sebarang laporan atau kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, selain talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – JM
