



Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2025
Satu peringatan yang amat bermakna kepada semua Ahli Parlimen agar terus mengamalkan budaya politik yang matang, beretika dan bertanggungjawab dalam
menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ini perlu dijunjung kerana sebagai institusi tertinggi demokrasi negara, Parlimen harus menjadi medan perbahasan yang sihat dan konstruktif, bukan medan pertelingkahan yang memecah-belahkan rakyat.
Johari juga menyambut baik titah Seri Paduka Baginda agar semua pihak menghentikan politik perpecahan dan memberi fokus kepada kesejahteraan
rakyat.
MENJADI PLATFORM DEMOKRASI
“Baginda telah menekankan bahawa Parlimen harus menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan media berkenaan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 pada 3 Februari 2025.
Menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, Johari menyeru agar Ahli Parlimen
memainkan peranan aktif dalam diplomasi serantau bagi mengukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
Beliau menyambut baik dukungan Baginda terhadap kepengerusian Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan menegaskan bahawa peranan Malaysia adalah penting dalam memastikan hubungan antara Parlimen negara-negara ASEAN terus diperkukuh.
AGENDA KERJASAMA SERANTAU
“Sebagai Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia akan menerajui agenda kerjasama serantau yang lebih
progresif dan memastikan suara Parlimen ASEAN terus relevan dalam menangani cabaran global,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa diplomasi Parlimen harus
digerakkan secara aktif untuk mengukuhkan hubungan serantau serta mempromosikan kestabilan, keamanan, dan kemakmuran ASEAN.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga menyeru semua Ahli Parlimen untuk menjadikan Titah Diraja sebagai pedoman dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing
dengan penuh integriti, amanah dan dedikasi demi kepentingan rakyat dan negara. – JM