


Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri berikutan situasi banjir semakin buruk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
Perdana Menteri berduka cita apabila menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk ini.
“Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini,” katanya menerusi hantaran di FB.
MENGAMBIL LANGKAH SEWAJARNYA
Perdana Menteri turut mengarah Jabatan Pendidikan Negeri mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas.
Beliau berharap para pelajar terlibat supaya dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
Skuad Ihsan MADANI akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” kata Anwar.
MENCECAH LEBIH 8,000
Berdasarkan rekod Pusat Kawalan Bencana Negara pada situasi banjir di Sabah dan Sarawak sehingga pukul 3 petang ini, jumlah mangsa telah mencecah lebih 8,000 orang.
Di Sarawak, sebanyak 11 daerah yang terjejas dengan jumlah keseluruhan mangsa ketika ini 5,106 orang manakala Sabah membabitkan 10 daerah, meliputi 3,550 orang. – JM