RAKYAT LEGA, PMX JAMIN TIDAK BENARKAN NAIK TARIF ELEKTRIK

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

29 Dis 2024

Ketika tular dua hari lalu tentang pengumuman TNB berkaitan kenaikan kadar asas tarif elektrik sebanyak 14.2% bermula 1 Julai 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera memberi respon yang mampu melegakan semua rakyat Malaysia.

Selain mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Fadilah Yusof agar mendapatkan penjelasan sebenar daripada TNB, Anwar dengan jelas memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang membebankan rakyat terbanyak.

Menurut beliau, sebarang kenaikan tarif elektrik tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat dan peningkatan kos kepada mereka.

“Saya faham dan menyedari kos pengurusan elektrik meningkat namun sebarang kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan golongan maha kaya.

“Kita tidak membenarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan sebagaimana yang dahulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut sebagai maha kaya ataupun industri yang mencatatkan keuntungan.

“Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan tarif elekrik walaupun kita faham kos meningkat tapi walaupun kos meningkat dia tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat,” jelasnya.

Selain itu, kata Anwar lagi, beliau telah meminta Fadillah untuk mengarahkan TNB membuat penjelasan secara terperinci.

“Tadi saya sudah hubungi Fadillah, menteri yang bertanggungjawab untuk minta TNB memberikan penjelasan. Secara terperincinya TNB dan Fadhilah akan memberikan penjelasan,” tambah Anwar.

BELUM MUKTAMAD

Walaupun Fadilah kemudian menjelaskan kenaikan yang diumumkan TNB itu belum muktamad serta tidak pernah dimaklumkan kepada kerajaan, yang pasti di sini ialah pendirian Anwar mengenai kenaikan itu.

Anwar dengan tegas menolak sebarang kenaikan yang boleh menjejaskan kos kehidupan rakyat terbanyak.

Ertinya, kalau apa-apa kenaikan diumumkan nanti, yang dibenarkan hanyalah untuk golongan maha kaya dan industri yang selama ini mengaut keuntungan besar sahaja.

Selagi seseorang itu jadi rakyat biasa, tiada apa-apa kenaikan yang bakal menghimpit kehidupan mereka.

Inilah keprihatinan Anwar selaku Perdana Menteri untuk kita semua.

Semoga ketegasan PMX difahami oleh TNB dan berusaha bertindak dengan bijak.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *