17.65 juta mendaftar, matlamat PADU lepasi sasaran

Oleh Noraini Nordin

Sehingga tarikh tutup 31 Mac, seramai 11.55 juta (52.6%) warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri dalam sistem PADU.

Secara keseluruhan pula, termasuk ahli isi rumah berusia bawah 18 tahun, jumlah yang telah mendaftar dengan PADU ialah seramai 17.65 juta atau 58.7% daripada profil rakyat negara ini.

Ini bermakna, matlamat PADU untuk mendapat pendaftaran sekurang-kurangnya 50% daripada 21.96 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas telah pun tercapai, bahkan melepasi sasaran.

SAMBUTAN YANG BAIK

Dengan sambutan yang baik ini, hasrat kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar tidak mungkin tergangguh lagi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam catatan di media sosialnya, mengucapkan terima kasih kepada semua warga negara yang telah mendaftar, mengemaskini dan juga mengesahkan data-data mereka.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pasukan pembangunan sistem PADU di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi dan juga agensi-agensi lain yang terlibat atas usaha menjayakan pelaksanaan PADU ini,” katanya.

Menurut beliau, langkah seterusnya selepas ini adalah untuk membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri pada bulan ini juga.

“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa yang akan datang,” jelasnya.

Begitu pun, kepada mereka yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini profil di PADU, Rafizi berkata, data pentadbiran yang sedia ada adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

Dalam masa yang sama dan sekiranya ada keperluan, ujarnya, Kementerian Ekonomi akan mengumumkan pembukaan semula kaunter PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar yang akan dilaksanakan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *