Ayuh usah keliru teruslah mendaftar PADU

Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)

Di sebalik kritikan, kecaman dan negeri Sarawak pula dilaporkan melahirkan kebimbangan sambil membangkitkan beberapa persoalan tentang pendaftaran PADU atau Pangkalan Data Utama, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilihat terus gigih untuk memastikan kejayaannya.

Di samping bertegas tidak akan melanjutkan lagi tempoh akhir pendaftaran pada 31 Mac ini, pihaknya kini semakin giat memastikan lebih ramai rakyat membuat pendaftaran dengan PADU.

Dalam perkembangan terbaru, sementara sebelum ini dilaporkan hanya 5.4 juta yang telah mendaftar sehingga 17 Mac lalu, angkanya kini telah meningkat kepada 7.7 juta sehingga 24 Mac.

Menjelang 31 Mac, Kementerian Ekonomi yakin angka yang mendaftar mampu meningkat kepada 50 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia.

ELAK TERCICIR NIKMATI FAEDAH SUBSIDI BERSASAR

Dalam hal ini, untuk mengelakkan daripada tercicir menikmati faedah subsidi bersasar yang bakal diperkenalkan kerajaan, rakyat adalah dinasihatkan untuk segera mendaftar dan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk berbuat demikian.

Selain akan memberi taklimat atau penjelasan kepada kabinet mengenai kebimbangan dan persoalan yang dibangkitkan oleh Sarawak sebagaimana diminta oleh Perdana Menteri, Rafizi sendiri dalam perancangan untuk turun sendiri ke negeri tersebut.

Terkini dalam kenyataan medianya, Rafizi berkata, satu sesi taklimat akan dianjurkan kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan data dalam masa yang terdekat ini.

Menurut beliau, kementeriannya komited untuk menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak itu.

Di waktu yang sama, tambahnya, kerajaan akan sentiasa memastikan pengendalian data yang selamat, termasuk keselamatan sistem, rangkaian dan data yang melindungi maklumat peribadi rakyat yang mendaftar dengan PADU.

“Saya memberikan jaminan bahawa dengan PADU, setiap rakyat akan menerima manfaat yang adil dan wajar melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik dan berkesan berpandukan data,” ujarnya.

HASRAT MURNI DEMI KEBAIKAN RAKYAT

Hakikatnya, PADU adalah dibangunkan dengan hasrat murni demi kebaikan rakyat, khusus dalam pelaksanaan subsidi bersasar yang konsepnya lebih adil.

Dengan maklumat yang didaftarkan melalui Padu, tujuannya ialah untuk memastikan setiap rakyat yang berhak menerima subsidi bersasar dapat menikmatinya dan tidak tercicir daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan itu.

Dalam hal ini, rakyat harus ada keyakinan kepada kerajaan, terutama berkaitan perlindungan data dan tidak bertangguh lagi untuk membuat pendaftaran.

Seterusnya, fikirkanlah sama ada kita mahu menikmati subsidi atau tidak daripada kerajaan yang difahamkan kaedah yang sedang dirancang ialah melalui pindahan tunai ke akaun mereka yang mendaffar dengan PADU.

Ayuh usah lagi keliru teruslah mendaftar PADU.


Penulis juga ada Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *