Isu pencen bukti keikhlasan PMX

Oleh Noraini Nordin (Analisis berita)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memperlihatkan keikhlasannya untuk negara dalam tekad memansuhkan pencen bagi pengambilan baharu penjawat awam baharu yang turut disekalikan dengan ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan.

Dengan pemansuhan yang dicadangkan itu melibatkan penjawat awam dan orang politik, ia adalah bukti langkah tersebut diambil benar-benar kerana kerajaan tidak mampu lagi menanggung beban kewangan yang tinggi setiap tahun.

Malah, Anwar menyebut, jika cadangan itu mendapat persetujuan kabinet, beliau sendiri akan membentangkannya di Parlimen.

Dua hari lalu, Perdana Menteri berkata cadangan pemansuhan pencen bagi ahli politik akan dibincang di peringkat kabinet terlebih dahulu dan kemudian dibawa ke Parlimen sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Katanya, sebagai satu tanggungjawab moral, isu pemansuhan pencen perlu dibentang dan dijelaskan sepenuhnya berikutan ia sukar untuk dirasionalkan jika ia dikecualikan kepada orang politik.

“Ada orang tanya bagaimana pula orang politik, sistem berbeza… tapi saya fikir munasabah kalau kita kaji, kaji sekali.

“Kalau penjawat awam tak ada (pencen), orang politik pun (patut) tak ada, tapi ia tertakluk kepada kelulusan di Parlimen.

“Kalau jadi dan kabinet bersetuju, saya sendiri (akan) bentangkan (di Parlimen),” tegasnya.

Apabila Perdana Menteri sendiri berhasrat mahu membawa cadangan itu Parlimen, ia bukan saja menunjukkan keiklasan beliau, tetapi di sinilah juga keikhlasan Ahli-Ahli Parlimen akan diuji sama ada mereka sama-sama sedia membantu memulihkan beban tanggungan negara atau sebaliknya.

Kalau mereka bersetuju, maka rakyat akan menilai ahli-ahli politik sebagai kelompok yang benar-benar jujur di mana bukan saja pencen untuk penjawat awam mahu dimansuhkan, tetapi juga pencen untuk diri mereka sebagai ahli politik sedia ditiadakan.

“Kalau ada kebetulan Ahli Parlimen nak tolak, itu dia tolaklah.

“Saya bentangkan sebab dari segi tanggungjawab moral, bagaimana boleh kita bentangkan kepada awam dengan alasan kukuh dari segi ekonomi tetapi diberikan pengecualian kepada orang politik, sukar saya mahu rasionalkan.

“Saya belum bentang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk perbincangan awal, tetapi kalau mereka mahu elaun khas lain sebagaimana penjawat awam, kita boleh bincang.

“Tetapi dari segi konsistensi dalam memperkenal dasar, itu kita perlu bersama,” kata Perdana Menteri lagi.

Bermakna, dalam usaha untuk memperkenalkan dasar bagi menyelamat dan demi kebaikan masa depan negara, Ahli-Ahli Parlimen tidak kira daripada blok mana, harus bersama-sama dengan Perdana Menteri dalam hal ini.

Ia bukan sahaja untuk masa depan negara, bahkan untuk mengangkat imej ahli politik agar sentiasa dihormati rakyat.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *