Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara
(Petikan FB Mohamad Sabu – Berita/Foto)
Alhamdulillah Parti Amanah Negara telah mencapai usia 8 tahun dan Kerajaan Perpaduan telah memasuki tahun ke-2 pemerintahan dengan gabungan 18 buah parti, Kerajaan ini Insya-Allah akan semakin kukuh.
Untuk makluman semua, bagi tahun 2023 negara telah berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara. Ini membuktikan bahawa kerajaan sekarang berada dilandasan terbaik untuk bangun semula menjadi negara maju yang disegani oleh negara-negara jiran.
Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub “Payung Rahmah” cukup memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Amat besar jasa yang telah Allahyarham tinggalkan, semoga Allahyarham di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Ketika ini dua kementerian yang dipimpin oleh AMANAH menjadi tumpuan rakyat Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kesihatan. Insya-Allah dengan kerja keras dan bersungguh-sungguh, kita akan buktikan AMANAH mampu memimpin kedua-dua kementerian ini dengan baik.
Untuk menubuhkan sesebuah parti memang mudah, tetapi untuk mengekalkannya cukup mencabar. Jadi dalam usaha untuk terus mengekalkan keberadaan parti AMANAH ini, kita perlu bekerjasama dengan parti-parti lain dan memperkuatkan Kerajaan Perpaduan ini.
Parti Amanah Negara memperjuangkan Islam dalam konteks realiti sebuah negara bangsa dan memahami kedudukan Perlembagaan Negara sebagai kerangka asas pembinaan negara bangsa. Dengan posisi Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja Melayu sebagai penaung agama dan rakyat serta Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, AMANAH akan terus memartabatkan agama Islam dan mendukung Perlembagaan Negara.
Saya mahukan semua pemimpin di pelbagai peringkat sama ada Nasional, Negeri, Sayap AWAN, PEMUDA, WARNA, Kawasan dan Cawangan untuk sama-sama merapatkan saff sejurus selepas pemilihan parti ini selesai. Bak kata pepatah Melayu ‘Biduk Lalu, Kiambang Bertaut’. Insya-Allah kita semua akan menjadi semakin kuat.
Selamat berkonvensyen kepada semua perwakilan.