TUMPU ISU PERTAHAN PALESTIN – NURUL IZZAH

(Petikan FB Nurul Izzah – Berita /Foto)

Saya mengecam keras tindakan Liberal International yang menyokong jenayah perang Israel di bumi Palestin. Sebuah badan antarabangsa yang menyatakan sokongan kepada perjuangan hak asasi manusia tidak sewajarnya pula menyokong penjajahan terancang dan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti yang dilakukan oleh rejim Israel.

Saya juga mengutuk perbuatan tidak bermaruah dan cubaan serangan untuk mencemarkan nama baik KEADILAN dengan mengaitkannya bersama pertubuhan tersebut, sedangkan kita sepatutnya bersatu hati dan berganding bahu bagi mencari jalan terbaik demi menyokong rakyat Palestin dalam perjuangan mereka melawan penindasan. Laporan yang menuduh bahawa KEADILAN sebagai anggota LI itu merupakan tuduhan palsu. Kesilapan fakta yang dipamerkan pada laman sesawang LI sudah ditegur dan kemudian diperbetulkan.

Sekalipun kami pernah berkongsi beberapa pandangan yang sama dengan LI dalam beberapa isu membabitkan hak asasi manusia dalam pemerintahan demokratik, namun pendirian kami jelas sekali bertentangan ibarat langit dan bumi dalam soal penindasan Israel dan pembunuhan rakyat Palestin ini. Demikian juga, sungguhpun kita menjalinkan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat, namun saya telah mengecam tindakan negara itu bersubahat mendukung jenayah perang Israel. KEADILAN tidak pernah gentar menegakkan keadilan di hadapan sesiapa jua, baik dulu mahupun kini.

Justeru, saya menyeru buat semua yang pernah bekerjasama dengan LI pada masa lalu, termasuk kalangan Anggota Parlimen daripada Perikatan Nasional, supaya turut bersama-sama mengecam pendirian LI. Kita harus melakukan segala yang terdaya demi membawa Israel ke muka pengadilan dan menuntut pertanggungjawaban sekutunya dalam komuniti antarabangsa.

Dari sungai ke segara,
Palestin pasti merdeka.

NURUL IZZAH ANWAR

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *