
Oleh Noraini Nordin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, keputusannya untuk hadir Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat pada hujung minggu ini tidak bermakna beliau pro Israel.
Kata beliau, pendirian Malaysia tetap tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.
Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, keputusan untuk menyertai persidangan itu adalah bagi menjaga kepentingan negara dari pelbagai sudut hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi.

Menurut Anwar, keutamaannya adalah untuk hubungan diplomatik dan keamanan, serta dalam masa yang sama tidak berganjak dalam mempertahan keadilan dan menyokong perjuangan hak rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya sebagai respon kepada desakan pelbagai pihak untuknya memulaukan Sidang APEC kali ini sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Saya sebagai Perdana Menteri nak jaga kepentingan negara ini, nak jaga keselamatan, ekonomi dan kesenangannya,” kata beliau lagi.
APEC merupakan forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik.
Pada tahun ini Sidang APEC akan berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat dari 11 hingga 17 November depan.
Kesemua 21 ekopnomi negara anggota APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus eksport barangan AS.
Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam dan kesemua pemimpin negara-negara terbabit dijadual menghadirinya.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat